Thursday, May 15, 2008

Gua & Favourite Band (Wings)


Sejarah penubuhan Kumpulan Wings bermula pada sekitar tahun 1985 di Sekolah Menengah Sri Ampang di Kuala Lumpur. Di situlah empat orang anak muda yang masih menuntut bergabung tenaga membentuk sebuah pancaragam sekolah. Oleh kerana terdorong dan amat meminati muzik terutama irama Rock, mereka sepakat untuk mendendangkan lagu berentak Rock'N'Roll di sepanjang persembahan yang mereka lakukan. Bermulalah kelahiran kumpulan Wings tetapi kumpulan ini masih belum mempunyai nama.

Anggota asal kumpulan Wings ialah Awie, Jojet, Jo, Syam.Perpecahan melanda kumpulan ini apabila Jojet telah berhijrah ke kumpulan Gersang dan Jo mengundurkan diri.


Pada awal tahun 1987, Wings mendapat tawaran untuk merakamkan album dibawah label ASP dan nama WINGS digunakan sebagai nama kumpulan ini. Ilham penggunaan nama WINGS sebagai nama kumpulan dicetuskan oleh Awie apabila orang ramai selalu menegurnya kerana lengannya yang berotot atau lebih tepat seperti 'sesayap' (wing). WINGS bertungkus-lumus menyiapkan album pertama mereka berjudul Belenggu Irama dengan bantuan 2 anggota baru iaitu Eddie dan Black yang menggantikan tempat Jojet dan Jo selain Awie dan Syam selaku anggota asal. Pada masa itu, pengurus kumpulan WINGS adalah Ali Bakar.

Pada ketika muzik rock mula mendapat tempat, kemunculan sebuah kumpulan seperti Wings sememangnya menghangatkan arena muzik rock tanahair. Wings tampil dengan kelainan tersendiri dimana muzik yang dibawakan oleh mereka cukup mantap walaupum ini adalah album pertama.



Dengan susunan muzik yang baik dan vokal yang bertenaga serta dibantu oleh penggubah terkenal seperti M. Nasir, J.S Kevin, perjudian pertama Wings di persada seni tanahair menampakkan hasil apabila album ini mendapat sambutan menggalakkan. Walaupun mereka terpaksa berdepan dengan masalah iaitu lagu-lagu mereka tidak dibenar penyiarannya di radio dan TV oleh RTM, pencinta muzik rock tetap dapat merasai bahang `Belenggu Irama` ini.
Lagu-lagu seperti 'Belenggu Irama', 'Intan Ku Kesepian' dan 'Peronda Jaket Biru' adalah antara lagu yang menjadi kegilaan remaja Malaysia ketika itu. Pihak RTM tidak memberi kelulusan penyiaran terhadap lagu-lagu Wings atas alasan lirik, lagu dan latar belakang Wings yang dikatakan keterlaluan dan tidak menepati syarat untuk disiarkan. Halangan ini sedikit sebanyak menghantui diri mereka. Namun, berkat ketabahan dan sokongan rakan dan peminat yang berdiri teguh di belakang, Wings berjaya menempuh segala dugaan dan cabaran, album ini dikatakan telah terjual lebih 60,000 unit.


Selepas itu, populariti Wings terus meningkat. Konsert mereka sentiasa mendapat perhatian ramai dan rata-rata para peminat amat terhibur dengan persembahan Wings yang mantap dan mempunyai identiti tersendiri.

Akan tetapi, tidak berapa lama selepas itu pertukaran ahli berlaku dimana Sham yang sebelum ini bertindak sebagai pemain gitar telah menarik diri dan kekosongan ini digantikan oleh Joe, seorang gitaris kidal belasan tahun yang sebelum itu merupakan anggota kumpulan rock Scandals. Kehadiran Joe menambahkan lagi kemantapan Wings kerana beliau sungguh kreatif dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam permainan gitar.

No comments: